Saturday, December 6, 2008

Penamaan calon 6 Jan., pilihan raya kecil 17 Jan.

PUTRAJAYA 5 Dis. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 6 Januari ini manakala 17 Januari pula sebagai tarikh mengundi.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pilihan raya kecil itu dibuat berikutan kematian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu.

''SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu berhubung kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu berikutan kematian Razali.

''Sehubungan itu, SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh yang kekosongan itu dimaklumkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum lalu, Razali berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Razali memperoleh 32,562 undi, manakala Mohamad (31,934 undi) dan Maimun (685 undi).

Wan Ahmad berkata, bagi pilihan raya kecil kali ini, SPR akan membuka 36 pusat mengundi dengan 143 saluran mengundi bagi seluruh kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya turut melantik Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Razali Kassim sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil itu bersama-sama 876 petugas pilihan raya yang lain.

''SPR menetapkan bahawa daftar pemilih yang akan digunakan pada pilihan raya kecil kali ini adalah yang diperakui dan disahkan semalam serta diwartakan pada hari ini.

''Daftar pemilih itu mengandungi 80,229 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 79,194 pemilih biasa dan 1,035 pemilih pos," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPR turut memberi kebenaran kepada Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) untuk memantau perjalanan pilihan raya kecil itu.

''Bagaimanapun, Mafrel perlu mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh SPR dan sebarang pelanggaran akan menyebabkan kebenaran itu akan ditarik serta merta," katanya.


Info SPR

- Pegawai Pengurus: Datuk Razali Kassim, Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu

- Penolong Pegawai Pengurus: 6 orang

- Tarikh penamaan calon: 6 Januari

- Tarikh pengundian: 17 Januari (Sabtu) - Jumlah pemilih: 80,229 orang

- Pengundi biasa: 79,194 orang

- Pengundi pos: 1,035 orang

- Pusat mengundi: 36

- Saluran mengundi: 143 saluran

- Petugas: 877 orang




No comments: