Tuesday, February 17, 2009

Wahid Angkat Sumpah Sebagai Ahli Parlimen


Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang baru daripada PAS, Mohd. Abdul Wahid Endut hari ini mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.(Gambar - Wahid mengangkat tangan dihapan speaker parlimen)


Beliau yang menang dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari hadir kali pertama dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula semalam.

Beliau memakai baju Melayu berwarna gelap lengkap bersongkok ketika mengangkat sumpah kira-kira pukul 10.05 pagi sebagaimana dipetik Utusan Online.

Mohd. Abdul Wahid menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan majoriti 2,631 undi dalam pilihanraya kecil yang bersejarah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam mendapat 32,883 undi mengalahkan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Wan Farid yang hanya memperoleh 30,252 undi.

Seorang lagi calon yang bertanding atas tiket Bebas, Azharudin Mamat hanya memperoleh 193 undi dan hilang wang pertaruhan manakala Undi rosak 665.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang dari BN, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran

Friday, January 23, 2009

Wahid Menang Dengan Majoriti Lebih Besar



Kuala Terengganu - Calon Pakatan Rakyat dari PAS, Hj Mohd Abdul Wahid Endut telah memenangi kerusi parlimen P.036 Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil disini hari ini, dengan majoriti yang lebih besar.

Keputusan rasmi kemenangan Pakatan Rakyat itu diumumkan jam 9.30 malam tadi yang mengisytiharkan Mohd Abdul Wahid,52, memperolehi 32,883 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendapat 30,252 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan mengumumkan kemenangan Wahid dengan majoriti 2,631 undi di Stadium Negeri.

Selepas keputusan diumumkan, beliau disambut oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Dalam sidang media selepas itu, Mohd Abdul Wahid menafikan undi yang diterima daripada pengundi Cina tidak memuaskan bahkan beliau berkata undi yang diterima pada pilihanraya kecil ini lebih tinggi berbanding pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

"Kami (PAS dan Pakatan Rakyat) akan membuat bedah siasat (post-mortem) untuk melihat arah aliran penyokong Cina," katanya.

Mohd Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, beliau akan membawa isu royalti minyak serta pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke Parlimen.

"Ini (isu) yang saya akan tumpukan dan akan dijelaskan kemudian," katanya.

Sementara itu, di luar Stadium Negeri di sini, kira-kira 5,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat berkumpul untuk meraikan kemenagan manis mereka setelah bertungkus lumus berkempen selama sebelas hari

Pada masa yang sama, pihak BN yang kalah dalam pertarungan kali ini telah mengadakan sidang media di rumah kediaman rasmi Meneteri Besar Terengganu.

Dalam sidang tersebut Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun ia merupakan kekecewaan kepada BN namun tetap menghormati keputusan rakyat.

Friday, January 9, 2009

PM pelik orang Umno cakap tak elok tentang Wan Farid


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau pelik kerana orang Umno yang lebih banyak bercakap mengenai yang tidak elok terhadap calon BN bagi pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berbanding dengan pihak pembangkang.

Abdullah berkata, beliau tidak tahu yang calon BN bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu, sombong.

“Orang kata dia sombong, saya tidak tahu. Kalau saya tahu dia sombong, saya tidak ambil dia jadi setiausaha politik saya,” katanya yang dipetik Malaysiakini

Beliau menegaskan demikian di majlis bersama pemimpin Wanita Umno di Kuala Terengganu malam tadi.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Wan Ahmad Farid.

Bagaimanapun, beliau berharap Wan Ahmad Farid pandai membawa diri berdepan dengan pengundi Kuala Terengganu.


Sikap Wan Farid yang didakwa sombong dan tidak pandai bergaul dengan orang ramai, menjadi buah mulut di kalangan orang ramai.

Bukan sahaja orang ramai, malah ada juga sebilangan penyokong Umno yang dikatakan merungut kerana sukar untuk bertemu dengan Wan Ahmad Farid.

Dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan 17 Januari ini, Wan Ahmad Farid menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Adam .

Abdullah juga mengingatkan pemimpin Umno supaya melupakan sekejap kempen untuk jawatan parti Mac depan sepanjang tempoh kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu sekarang.

“Lupakan sekejap kempen tersebut kerana kita hendak menang dalam pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu.

“Utamakan yang ini dulu, jangan sibuk untuk kepentingan parti,” katanya.

Perhimpunan agung Umno akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur 24 hingga 28 Mac depan.