Wednesday, December 3, 2008

Notis Belum Dikeluarkan, PAS Sah Akan Bertanding

Kuala Terengganu - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima notis mengenai kekosongan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kerana sijil kematian Ahli Parlimen belum diterima oleh Parlimen. (Gambar - Senario disebuah 'pos' PAS dalam Piliharaya Umum lalu)

Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata notis kekosongan kemungkinan akan dikeluarkan oleh parlimen kepada SPR minggu depan apabila parlimen menerima sijil kematian tersebut.

“Sehingga pagi tadi sijil kematian Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Razali Ismail tidak diperoleh,"sijil itu diperlukan untuk disertakan bersama notis kekosongan," kata beliau yang dipetik akhbar mStar online.

Wan Junaidi berkata demikian ekoran kenyataan SPR yang hanya akan mengadakan mesyuarat khas untuk memutuskan pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebaik sahaja menerima notis kekosongan daripada Speaker Dewan Rakyat.

Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sehingga jam 4 petang 1 Disember, pihaknya belum menerima notis mengenai kekosongan kerusi itu.

"SPR tidak akan melengah-lengahkan untuk mengadakan pilihan raya kecil... sebaik sahaja menerima notis, kami akan memanggil mesyuarat khas, kami masih menunggu makluman daripada Parlimen," kata beliau lagi.


Sementara itu PAS mengesahkan akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dan pendirian PAS itu telah disokong oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustaffa Ali berkata, PAS akan meletakkan calon seperti yang diumumkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Mat.

Pendirian kedua-dua pimpinan PAS tersebut telah diperkuatkan dalam ucapan penutup Kongres PKR ke lima oleh Anwar di Stadium Melawati kelmarin.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata memang terdapat banyak cadangan dari ahli PKR supaya parti tersebut meletakkan calon dalam PRK Kuala Terengganu.

Menjawab persolan itu, Anwar berkata walaupun keputusan akhir siapa yang akan bertanding untuk PRK Kuala Terengganu adalah terletak kepada Pakatan Rakyat (PR), perundingan dalam PR adalah merujuk kepada kerjasama membantu antara satu sama lain.

“Pada PRK yang lalu (Permatang Pauh), PAS telah memberikan sokongan padu kepada kita dan sekiranya PAS bertanding, kita akan membalas budi PAS,”kata Anwar yang dipetik akhbar The Edge Daily.

Dalam perkembangan yang sama, PKR Terengganu menyatakan akan memberikan sokongan semaksimum mungkin kepada calon PAS yang akan diletakkan bagi menghadapi PRK Parlimen Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Setiausaha Badan Perhubungan PKR negeri, Wan Rahim Wan Hamzah (gambar) berkata, pihaknya akan mengerahkan jentera parti untuk membantu rakan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya kecil tersebut.

“PKR akan menggerakkan jentera parti di seluruh negeri bagi membantu calon Pas memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Kita akan tetap menurunkan jentera pilihan raya bagi memastikan calon Pas menang katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

No comments: