Thursday, December 18, 2008

Skuad AMK Kemaman siap sedia ke Kuala Terengganu

CHUKAI - Hasrat membantu calon PAS merampas semula kerusi Parlimen Kuala Terengganu mendorong Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kemaman menubuhkan Skuad AMK Kemaman bagi membantu kempen pilihan raya kecil yang dijadualkan pada 17 Januari depan.

Setakat ini, seramai 80 anggota AMK terdiri daripada kalangan belia telah mendaftar untuk menyertai skuad tersebut.

Pemangku Ketua AMK Bahagian Kemaman, Suffiean Sulaiman berkata, anggota skuad berkenaan berusia antara 18 tahun hingga 22 tahun dan tugas utama mereka tertumpu kepada kawalan keselamatan jalan raya, pengiring dan menjaga makan minum petugas sepanjang kempen pilihan raya.

“Mereka akan berada di Kuala Terengganu bermula pada hari penamaan calon hingga ke saat pembuangan undi. Pelbagai kemudahan akan disediakan kepada mereka seperti tempat tinggal, pengangkutan dan keperluan makan minum,”katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, mesyuarat khas telah dijalankan bersama kepimpinan AMK negeri Terengganu dan mereka sebulat suara bersetuju dengan rancangan penubuhan skuad terbabit.

“Saya menjangka penyertaan anggota skuad akan bertambah terutama menjelang hari penamaan calon. Keyakinan saya kerana belia di sini dilihat lebih menyebelahi Pakatan Rakyat (PR) berdasarkan tinjauan semasa Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu,” kata Suffiean.

Menurut beliau, pihaknya mempunyai perancangan tersendiri untuk Skuad AMK Kemaman kerana mereka yang dipilih terdiri daripada belia yang berpotensi dan mempunyai semangat juang yang tinggi untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara menerusi perjuangan politik.

“Pihak kami akan melatih mereka untuk menjadi pelapis kepimpinan AMK Kemaman pada masa hadapan. Sasaran kami untuk mencari seramai 150 belia bagi berkhidmat di Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil itu,”katanya.

Mengulas mengenai perancangan Skuad AMK setelah berakhir kempen pilihan raya itu nanti, Suffiean berkata, mereka akan memanggil skuad tersebut dalam pelbagai aktiviti dan program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun.

“Mereka tidak perlu bimbang kerana kami mahu membentuk mereka menjadi generasi muda berketerampilan tinggi selain mempunyai nilai moral yang murni. Buat masa ini, kami belum memutuskan untuk membayar elaun kepada mereka,”katanya.

No comments: