Sunday, December 21, 2008

Pemuda PAS Akan Berkampung Di Rumah-rumah Pengundi

Kuala Terengganu - Pemuda PAS tidak memerlukan bilik hotel tetapi akan menetap di rumah-rumah rakyat di seluruh kawasan parlimen Kuala Terengganu untuk menggerakkan usaha bersungguh-sungguh memenangkan pilihanraya kecil (PRK) Kuala Terengganu.

”Jentera ini (pemuda) akan masuk setiap rumah pengundi-pengundi kita dan ini secara langsung kami yakin akan memberikan manfaat dan impak yang besar untuk mereka (para pengundi) memberikan sokongan kepada kami (PAS),” kata Ketua Pemuda PAS, Salehuddin Ayob dalam sidang media yang diadakan di Markaz Tarbiah PAS Kuala Terengganu dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berita yang menyatakan bahawa pemuda UMNO telah menempah sebanyak 1000 buah bilik hotel bagi menempatkan petugasnya sepanjang PRK Kuala Terengganu

Beliau berkata pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda akan diadakan malam ini (20 Disember) dalam satu majlis yang dinamakan Pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda Pakatan Rakyat.

Katanya beliau sendiri, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Samsul Iskandar dan juga Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang akan berucap dalam majlis tersebut.


Salehuddin turut mengumumkan pada sdang media tersebut program Himpunan Menentang ISA, di mana pelancarannya akan diadakan pada 29 Disember depan di Stadum Bangi, Selangor.

”Pelancaran ini adalah merupakan satu pelancaran untuk kita menggerakkan massa seluruh rakyat dalam negara kita ini untuk hapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act),”ujarnya.

Menurutnya perhimpunan yang menyamai perhimpunan aman BERSIH yang diadakan pada November tahun lalu itu akan diadakan pada satu tarikh dalam bulan Mac tahun depan.

”Kita (akan) menggerakkan rakyat dalam negara kita ini supaya akta (ISA) ini dimansuhkan dan tidak lagi beroperasi atau berjalan dalam negara kita ini setelah negara kita merdeka lebih daripada 50 tahun,”tambahnya

No comments: