Wednesday, December 31, 2008

Gobala Yakin Masyarakat Cina Kuala Terengganu Sokong Calun PAS


Kuala Terengganu – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat N Gobalakrishnan yakin masyarakat Cina Kuala Terengganu akan mengundi calun Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PAS dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.

“Saya melihat sambutan dari masyarakat Cina menggalakkan, apabila saya memberi penerangan masalah di parlimen (dimana) Oakatan Rakyat perlu seorang lagi ahli parlimen untuk berjuang, mereka terima,”katanya yang ditemui selepas melawat masyarakat Cina di Kampung Tiong Kuala Terengganu hari ini (31 Disember).

Beliau berkata masyarakat Cina tidak akan tertipu oleh parti BN yang kini ‘menggula-gulakan’ masyarakat Cina dengan memberi wang Ehsan dan hiburan karaoke.

“Ini karaoke mahu taruh sampai 18hb, apa pasal tidak taruh sampai pilihanraya akan datang (PRU 13),
“ingat senang ka mahu tipu sini punya orang, BN angkat karaoke sini pasal dia mahu undi lu orang, dia kasi Rm 100,000 atau RM 100 juta, angkat ambik semua, ini kita punya duit semua, kita bayar cukai,”kata beliau

Beliau berkata UMNO/BN adalah sebuah parti yang menggalakkkan ketidakadilan dan ketidaksamarataan dikalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Sebaliknyam katanya, Pakatan Rakyat yang terdiri dari parti PAS, DAP dan Keadilan bersama-sama berjuang untuk menegakkan keadilan dan hak rakyat.

”Mereka perlu mengudi pakatan rakyat kerana ahli PAS, DAP dan Keadilan bersama-sama berjuang di parlimen,
“Ahli (anggota parlimen) BN jarang-jarang berjuang untuk rakyat,”

”Saya percaya mereka menyokong calun kita, walau siapa pun calun, mereka akan sokong,”tambahnya

Tuesday, December 30, 2008

Nik Aziz yakin kemenangan PAS, hudud diterima


Kuala Terengganu (hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat yakin akan tiba masanya dimana semua pihak akan menerima perlaksanaan undang-undang Islam termasuk termasuk Hudud dan Qisas.

"Projek besar kita tengok...Islam ni projek besar, sepuluh tahun dua puluh tahun, Nabi Muhammad 23 tahun. Saya ni 20 tahun dah, pelik apa kalau lambat sikit,”katanya kepada para wartawan selepas Majlis Pelancaran Jentera Bantuan dari Negeri Kelantan bagi Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu, di Masjid Hiliran, di sini semalam.

Beliau juga turut yakin dengan kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu akan datang dan ini berdasarkan kepada sokongan semua pihak yang semakin meningkat kepada PAS berbanding dengan beberapa tahun lalu.

"Benda-benda PAS kata sekarang ni banyak dah orang terima. Dulu...usahkan Hudud, sebut kata politik Islam pun orang tak boleh terima.Sekarang ni Melayu, PAS pun terima, Melayu Umno banyak sokong PAS dah sekarang ni, Cina pun sokong,”katanya.

Justeru beliau berharap semua warga Parlimen Kuala Terengganu akan mengundi calun PAS pada 17 Januari depan.

"Saya berdoa kepada Allah dan minta rakyat semua, Cina Melayu PAS dan UMNO sokong calon PAS, usahkan orang PAS, Umno pun saya minta untuk sokong (calon PAS),” katanya.

(Ikuti berita penuh yang ditulis oleh SM Noor dan Wan Kay dalam Buletin online)

Monday, December 29, 2008

Tok Mun tidak bertanding dalam pilihanraya kecil

KUALA TERENGGANU ; Bekas calon bebas Parlimen Kuala Terengganu yang mencuri tumpuan pada pilihan raya umum lepas, Maimun Yusof, 89, hari ini mengesahkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan depan.

Maimun atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mun berkata dia terpaksa melupakan niatnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu, apabila tidak menerima sebarang wang untuk digunakan sebagai deposit bagi melayakkan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

"Dok payoh (Tak payah) jumpa lagilah, tok tak mboh (tak nak) tanding doh. Takdok pitih (takde duit)... dok buleh buat apa doh (tak boleh buat apa dah)...Nok kumpul duit pun dah dok sempat (nak kumpul duit pun tak sempat)," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Gong Gemia di sini.

Tok Mun berkata walaupun sebelum ini satu laman blog telah diwujudkan bagi mengutip dana untuk digunakan sebagai wang deposit dalam pilihan raya kecil itu, namun beliau mendakwa kesemua wang tersebut telah dilesapkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Warga emas itu mendakwa seorang penyokongnya yang turut membantunya dalam pilihan raya umum lepas telah memberitahunya bahawa laman blog tersebut telah berjaya mengutip kirakira RM160,000.

Bagaimanapun, katanya sehingga hari ini dia tidak menerima sesen pun wang daripada lama blog yang menggunakan namanya itu dan tidak pasti pihak yang terlibat dalam melesapkan wang tersebut.

Untuk mengelakkan namanya terus dipergunakan, Tok Mun telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada 18 Dis lalu berhubung kejadian tersebut.

"Tok dah minta polis sekat laman blog tersebut, duit pun bukan dapat ke Tok. Tak payoh bagi ke situ (blog) lagi," katanya.

Tok Mun turut melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat meneruskan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini dan kesal ada individu tertentu yang cuba mengaut keuntungan yang mudah dengan menggunakan namanya untuk mengutip wang.

Ditanya sama ada beliau masih berminat untuk bertanding jika ada sekiranya pihak mendermakan wang kepadanya dalam tempoh sebelum penamaan calon nanti, Tok Mun berkata: "Tak sempat dah...dah tak boleh buat apa-apa. Masa dah singkat sangat".

"Lagipun, selagi takdok pitih dalam tangan tak boleh cakap. Dah ada baru boleh cakap. InsyaAllah kalau Tok dipanjangkan umur lagi, Tok akan tanding dalam pilihan raya umum depan pulak," katanya.

Pada pilihan raya umum lepas, Maimun memperoleh 685 undi manakala bekas Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail yang mewakili Barisan Nasional (32,562 undi) dan calon PAS, Mohamad Sabu (31,934 undi).BERNAMA

AMK Mengalu-alukan Kehadiran Ezam Bersama 6 Kotak


Kuala Terengganu, 29 Dis – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Terengganu mengalu-alukan kehadiran Bekas ketuanya, Ezam Mohd. Nor untuk berkempen dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan turut membawa 6 kotak rahsia besarnya.

Ketua AMK Terengganu, Fariz Musa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ezam yang dikatakan telah dijemput oleh calon Barisan Nasional YB Senator Wan Farid Wan Salleh bagi membantunya kerana pertarungan yang sengit dalam pilihanraya kecil kali ini.

”Kita (AMK Terengganu) meminta supaya Ezam datang bersama 6 kotak yang pernah didakwa oleh beliau berkaitan rasuah dan penyelewengan pimpinan UMNO dan BN.”

“rakyat seluruh Malaysia pernah diberitahu oleh beliau sewaktu menjadi Ketua AMK Malaysia mempunyai 6 kotak bukti rasuah dan penyelewangan UMNO /BN,”ujar Fariz ketika ditemui Buletinonline semalam.

Beliau berkata sekiranya Ezam masih konsisten dan serius dalam menentang rasuah PRK Kuala Terengganu adalah medan yang terbaik untuk beliau mendedahkan rahsia 6 kotak masih menjadi tandatanya.


“Integriti dan kredibiliti Ezam akan kembali pulih selepas menyertai UMNO semula dengan mendedahkan 6 kotak dokumen rasuah dan penyelewengan UMNO / BN,

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah pun dibentuk dan diluluskan oleh Parlimen seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk mendedahkan kekotoran dalam UMNO / BN,”cabar Fariz kepada Ezam.


Ezam pada Mei lalu, menyertai semula UMNO setelah menjadi pemimpin PKR selama satu dekad dengan alasan kononnya menyokong Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi menentang rasuah.

Sunday, December 28, 2008

Pilihan raya ‘perang’ demokrasi


Kuala Nerus - Proses pilihan raya di negara ini merupakan ‘peperangan’ secara demokrasi yang boleh diterima oleh jemaah dan syariat Islam.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan antara gerakan Islam yang tertua menyertai proses demokrasi melalui pilihan raya meski pun masih banayak kekurangan dan kepincangannya.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata demikian pada Majlis Penutup Kursus Perguruan Pasti Negeri Terengganu Peringkat Asas dan Sijil 2008, di Maahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman (MTT), Tok Jiring, dekat sini, hari ini.

Katanya, PAS menyertai pilihan raya adalah ‘perang’ secara aman melalui sistem demokrasi yang dibenarkan oleh syariat Islam.

“Kita (PAS) masuk pilihan raya ini macam masuk ‘perang’ tetapi secara aman dan melalui system demokrasi yang dibenarkan dalam Islam.

“Jika kita (PAS) menang, kita (PAS) boleh memerintah negeri dan negara untuk melaksanakan syariat dan mendaulatkan Islam,” jelasnya.

Menurutnya, PAS antara gerakan Islam yang paling lama menyertai pilihan raya di dunia dan berjaya memerintah negeri.

Beliau menjelaskan, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini masih banyak kepincangan yang berlaku dan perlu diperbaiki sebelum rakyat menolaknya.

Justeru itu, katanya PAS tetap akan menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) P.36 Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari depan meski pun berhadapan dengan demokrasi yang ‘tempang’

Friday, December 26, 2008

Hudud : DAP hormati PAS, bukan Islam tidak terjejas

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Hrkh) -Masyarakat bukan Islam di negara ini tidak akan terjejas dengan pelaksanaan hukum hudud.

Menurut Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran, beliau menghormati pendirian PAS dalam pelaksanaan hukum hudud dan yakin bukan Islam di negara ini tidak akan terjejas kehidupan mereka jika ia dilaksanakan.

Mengulas situasi dan suasana pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Kulasegaran menambah bahawa,para pengundi Cina tidak akan terpengaruh dengan isu hudud menjelang pilihan raya kecil di sana.

Menurutnya, mereka matang dan mampu melihat dengan lebih jelas permainan yang cuba dibawa oleh Barisan Nasional (BN).


"Perkara ini telah didebat banyak kali.Tiada yang baru,"katanya kepada wartawan selepas perasmian pusat khidmat masyarakat Adun Jelapang (DAP),Hee Yit Foong.


Tambahnya, dia menghormati pendirian PAS untuk melaksanakan hudud dan ia merupakan inspirasi parti tersebut.


"Ia masih memerlukan perubahan perlembagaan persekutuan,"jelasnya sambil menegaskan PAS akan sukar mendapat majoriti untuk melakukannya.


Pengundi-pengundi Cina dilaporkan membentuk 11 peratus dalam daftar pemilihan untuk pilihan raya kecil di Kuala Terengganu dan ia penting buat BN.


Kulasegaran yang juga merupakan Ahli Parlimen Ipoh Barat menegaskan,seandainya hukum hudud dilaksanakan gaya hidup masyarakat bukan Islam tidak akan mendapat kesan.


"Ia adalah pendirian PAS. Saya hormati pendirian mereka.Itu merupakan urusan mereka,"tegasnya.

Thursday, December 25, 2008

Tak Ada Sebab Nak Undi UMNO/BN Lagi - Nik Aziz


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tidak ada sebab mengapa para pengundi Kuala Terengganu perlu mengundi calun UMNO/Barisan Nasional sekali lagi.

“PAS boleh membawa pembangunan dan juga menjaga kepentingan orang Melayu. Tak perlu mengundi UMNO sekali lagi.,

“di Kelantan PAS telah membuktikan keupayaannya (memerintah),”katanya selepas mempengerusi mesyuarat mingguan Exco Kelantan semalam.

Beliau juga berkata PAS juga telah menerima sokongan dari kalangan bukan Islam dan bukan Melayu melalui penubuhan Kelab Penyokong PAS yang mendapat sambutan hebat dari kalangan kaum Cina dan India di seluruh Negara.

“Secara logiknya mereka sepatutnya menubuhkan Kelab Penyokong UMNO, tapi mereka pilih kami (PAS) walaupun kami parti yang kecil dan miskin,

“mereka sukarela menubuhkan Kelab Penyokong sebab mereka percaya kepada perjuangan kami (PAS),”tambah Nik Aziz

Wednesday, December 24, 2008

Dato’ Abu Zahar akan berkempen di Kuala Terengganu

Kuala Terengganu - Bekas Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Dato' Abu Zahar Hashim akan bersama-sama membantu jentera PAS untuk berkempen dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu bermula 5 sehingga 17 Januari depan.

Beliau yang dikenali ramai sejak mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter dengan rasminya menyertai PAS dan menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi ini (24 Disember).

Sehubungan dengan itu, Zahar turut 'mewakafkan' (infak) pejabat Bahagian Umno PJ Selatan kepada PAS kawasan PJ Selatan.

Harakahdaily melaporkan tindakan beliau itu adalah kerana difahamkan pejabat tersebut adalah milik beliau sendiri.

Abu Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata PM dan TPM menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tidak berapa lama dahulu.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Abu Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS


Turut hadir dalam majlis itu Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Ali dan Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahrir.

Tidak Menjadi Masalah !


Kuala Terengganu - PAS tidak melihat pencalunan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Senator Dato’ Wan Farid Wan Salleh sebagai satu halangan kepada usaha PAS untuk menang pada pilihanraya kecil parlimen KualaTerengganu yang akan diadakan pada 17 Januari depan.

Pengarah Operasi Jawatankuasa Induk Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu Dato’ Wan Mutalib Embong berkata demikian ketika ditanya oleh para wartawan di Markaz Tabiah Kuala Terengganu, Kuala Ibai dekat sini kelmarin.

“Jentera kita ada dua peringkat, yang pertama peringkat pusat, pengarahnya YB Timbalan Presiden, pengarah operasinya saya sendiri,

“jentera kerja dibawah saya ada 38 portfolio, selain ada jentera kerja peringkat tempatan, yang pertama kita (PAS) disokong oleh Pakatan Rakyat, kedua jentera dari negeri-negeri dan yang ketiga dari DUN-DUN (dalam negeri Terengganu,”katanya.

Menurut beliau sehingga kini sebanyak 182 unit rumah telah disewa dan disediakan untuk tetamu-tetamu yang menjadi jentera sokongan kepada jentera pilihanraya PAS Terengganu.

Apabila diminta pandangan tentang calun Barisan Nasional Dato’ Wan Farid, beliau berkata, sebagai seorang yang pernah menjadi Timbalan Menteri kerajaan pusat, Wan Farid gagal membawa apa-apa perubahan kepada warga Kuala Terengganu.

“Kita (PAS) melihat kita boleh lawan dia (Wan Farid), dia pernah dilantik senator, dia baru dilantik (semula) menjadi senator dalam Sidang DUN baru-baru ni,

“selain itu dia (pernah menjadi) Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri, tetapi tidak ada perubahan kepada Terengganu, hasil kepada rakyatnya tidak ada walaupun dia pegang jawatan Timbalan Menteri,”kata Dato’ Wan Mutalib.


Wan Farid Tidak Layak Berbicara Tentang Legasi Allahyarham Datuk Razali Ismail

Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Terengganu membidas kenyataan yang dibuat oleh Calon Barisan Nasional (BN ) bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Terengganu Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh yang berkata kononnya beliau mempunyai tugas berat untuk menyambung legasi yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Razali Ismail .

Timbalan AMK Fariz Musa berkata, Wan Farid tidak layak untuk membuat kenyataan demikian kerana beliau merupakan orang yang bertanggungjawab dan terlibat secara langsung dalam usaha ‘mematikan karier politik ‘Allahyarhan Datuk Razali.

Katanya, Wan Farid melalui satu konspirasi telah menewaskan Allahyarham Datuk Razali dari mempertahankan jawatan beliau sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu apabila abangnya Datuk Wan Hisham Wan Salleh mencabar Datuk Razali Ismail dalam pemilihan UMNO Bahagian Kuala Terengganu tempoh hari .

“Malah, Allahyarham juga tewas dalam pemilihan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu ke Persidangan Agung UMNO,

“iaitu satu tindakan beliau dan UMNO Kuala Terengganu yang menafikan dan memalukan Allahyarham Datuk Razali yang konsisten menentang rasuah dalam UMNO.”ujar Fariz dalam satu siaran media yang dihantar melalui e-mel semalam.

Menurutnya Wan Farid juga tidak layak meneruskan legasi Allahyarham Datuk Razali Ismail untuk melahirkan modal insan berkualiti kerana beliau sehingga hari ini tidak berani ‘bersumpah’ menafikan bahawa belliau tidak terlibat mengarahkan pihak polis dalam kes insiden menembak 2 orang ahli PAS di Batu Burok.

Katanya peranan dan kebertanggungjawaban Allahyarham Datuk Razali Ismail dan komitmen beliau terhadap memajukan pendidikan dan Parlimen Kuala Terengganu tidak akan mampu diteruskan oleh Wan Farid kerana sepanjang beliau menjadi Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri tidak ada pembangunan dan kemajuan yang dibawa ke Kuala Terengganu .

“Sebaliknya beliau meraih laba dan mengaut keuntungan melalui Kejohanan Antarabangsa Perlumbaan Kapal Layar ( Monsoon Cup ) setiap tahun kerana beliau dan abang beliau Wan Hisham Wan Salleh antara terlibat sebagai Ahli Lembaga Pengarah T Best sepertimana yang dilaporkan oleh The Edge Daily, 5 Mei 2008 ,”kata Fariz

Fariz juga berkata, Wan Farid tidak perlu berlagak ‘ baik , suci dan bersih ’ sedangkan tangan beliau penuh dengan kekotoran . Beliau tidak layak bercakap soal meneruskan legasi Allahyarham Datuk Razali yang berjiwa rakyat . Perlantikan beliau ke dalam kabinet sebagai Timbalan Menteri bukan diperolehi melalui mandat rakyat tetapi belas ihsan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ini kerana sebelum itu beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri kepada Perdana Menteri.

“Kredibiliti dan integriti beliau diragui dan dipersoalkan . Ini yang menjadikan beliau bukannya calon pilihan rakyat Kuala Terengganu dalam Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 depan.”tambah Fariz

Tuesday, December 23, 2008

Pemimpin Umno tidak pasti menang

Akhbar internet Malaysiakini melaporkan, beberapa pemimpin Umno tempatan berbelah bahagi berhubung peluang calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menang dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, bulan depan.

Pemimpin Umno di bahagian Kuala Terengganu berkata, personaliti Wan Ahmad Farid yang dianggap "elit" menyebabkan calon itu sukar mendapat sokongan pengundi kampung.

Katanya, yang enggan dikenali, jika hendak dibandingkan senator itu dengan bekas ahli parlimen Datuk Razali Ismail, "ia ibarat langit dengan bumi".

Bekas pemimpin bahagian itu meletakkan peluang kemenangan Wan Ahmad Farid hanyalah 45 peratus.

"Datuk Wan Farid boleh dianggap daripada golongan elit yang kurang bercampur dengan orang.

"Saya mendapat tahu ramai orang yang berniaga di pasar Kuala Terengganu tidak kenal dengan calon BN itu, sebaliknya lebih kenal Menteri Besar, Datuk Ahmad Said," katanya ketika diminta mengulas peluang timbalan menteri itu menang dalam pilihanraya kecil itu yang bermula 6 Januari ini.

"Bayangkan, Datuk Razali yang disenangi oleh semua orang cuma menang dengan majoriti kecil 628 undi." (lihat carta di bawah)


Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Wan Ahmad Farid sebagai calon BN.

Pemimpin tersebut berkata, satu faktor lagi yang menyebabkan BN sukar menang ialah kedudukan hampir 5,000 guru yang turut mengundi.

"Adakah golongan guru ini akan mengundi Datuk Wan Ahmad Farid sebagaimana mereka mengundi Datuk Razali?" katanya.

Golongan pendidik dikatakan ingin bekas ketua penerangan Umno bahagian Mohd Zuber Embong, seorang pegawai kanan pendidikan negeri - namanya antara lima pemimpin yang turut diura-urakan untuk dicalonkan.

Pengerusi peti undi Kuala Ibai, Sulaiman Ali bagaimanapun yakin golongan guru secara umumnya akan tetap bersama BN dalam pilihanraya kali ini.

"Atas semua faktor itu, saya meramalkan peluang Datuk Wan Farid untuk menang ketika ini ialah 55 peratus," katanya.

Pemilihan Wan Ahmad Farid juga telah menyelesaikan banyak masalah di bahagian tersebut, tambahnya, yang juga ahli jawatankuasa bahagian.

Sulaiman berkata, perebutan mereka yang hendak menjadi calon BN telah selesai dan maklum balas yang diperolehi bahawa mereka akan berdiri di belakang bekas setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Di peti undi Kuala Ibai, dari bancian awal yang kita buat, mereka tidak ada masalah dengan Datuk Wan Farid.

"Kita juga yakin boleh menang sekurang-kurangnya 300 undi seperti pilihanraya umum lalu daripada lebih 2,000 pengundi dari empat saluran di sini," katanya.

Sementara bekas naib ketua bahagian Hamzah Mohd Zain ketika dihubungi berkata, BN akan menang "jika tiada pengkhianatan dilakukan oleh ahli parti".

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan punca-punca boleh berlaku pengkhianatan tersebut.

Katanya, semua pihak perlu melupakan pergeseran sewaktu pemilihan Umno bahagian baru-baru ini.

"Jika jentera pilihanraya bersatu dan bergerak, Datuk Wan Farid akan menang," katanya.

Beliau berkata BN harus mempertimbangkan kekuatan PAS di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN): Batu Burok, Ladang dan Wakaf Mempelam.

"Ruang untuk menang ada tetapi kena kerja kuat. Tetapi ketika ini peluang adalah 50-50," katanya.

Hamzah berkata, faktor lain ialah pengundi atas pagar dan pengundi Cina.

"Jika mereka mereka mengundi BN, Datuk Wan Farid akan menang," katanya.

Sunday, December 21, 2008

PAS umum calon PRK Kuala Terengganu pada 1 Januari 2009

Kuala Terengganu - PAS akan mengumumkan calonnya bagi bertanding dalam Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu pada 1 Januari 2009 depan di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian pada satu sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu di Kuala Ibai, dekat sini, hari ini.

“Saya menerima calon yang disenaraikan oleh pihak negeri (Terengganu). InsyaAllah, nama calon itu akan diumumkan pada 1 Januari 2009 depan bertempat di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

“Nama ada satu sahaja yang akan bertanding. Kita (PAS) mempunyai ramai calon-calon yang layak bertanding dan kita (PAS) mengambil kira dari semua aspek untuk memberi kemenangan kepada calon itu,” ujarnya.

Ustaz Abdul Hadi menjelaskan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah ‘dalaman’ (berebut) serta mendapat kerjasama sepenuhnya.

Menurutnya, calon yang akan diketengahkan oleh PAS adalah calon yang lebih layak dari Barisan Nasional (BN) bagi mewakili rakyat di Parlimen.

“Kita (PAS) tidak mengalami masalah ‘dalaman’ dan kita dapat menjalankan kerja dengan padu dan semua jentera memberi kerjasama sepenuhnya. Siapa sahaja yang dinamakan untuk jadi calon.

“Kita (PAS) akan umumkan calon yang lebih layak dari calon Barisan Nasional (BN). Calon PAS itu dapat restu dari Pakatan Rakyat. Kita tidak ada masalah dan dia (BN) ada masalah calon sebab itu dia umumkan lebih awal,” jelasnya.

Justeru itu, Dato’ Seri Abdul Hadi yakin calon PAS boleh menang dan diterima oleh para pengundi di P.36 Kuala Terengganu berdasarkan ketokohan, profesional serta berjiwa rakyat.

“InsyaAllah, boleh menang sebab Kuala Terengganu adalah salah satu dari tempat yang kita (PAS) kuat. Aspek ketokohan, profesional dan lapangan yang boleh diterima oleh rakyat.

“Kita (PAS) sudah ada calon dan sudah ada dalam poket saya. Calon PAS sudah bersemangat dari sekarang tanpa diumumkan calon lagi,” ujarnya dengan nada berseloroh.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamaruddin Jaafar, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob dan Ketua dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.


Kenyataan Wan Farid Disanggah Mahfudz


Kuala Terengganu - Calun Barisan Nasional bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Farid Salleh membuat tuduhan pertama yang ‘nanar’ setelah diisytiharkan menjadi calun kelmarin.

Beliau menuduh PAS mengalami ‘masalah dalaman’ berikutan banyaknya cadangan-cadangan calun yang dikemukakan oleh beberapa pihak dalam PAS.

“Saya tak pasti apabila Ketua Pemuda hendak calun ini, Mursyidul Am hendak calun itu, Pesuruhjaya hendak calun yang lain itu ditafsirkan sebagai tidak ada masalah dalaman…..”, kata Wan Farid sebagaimana disiarkan oleh sebuah stesyen televisyen utama semalam.

Ketua Penerangan PAS YB Haji Mahfudz Omar ketika diminta mengulas tuduhan Wan farid berkata cadangan-cadangan calun yang banyak oleh pelbagai pihak dalam PAS tidak boleh dianggap sebagai perpecahan bahkan ia menunjukkan bahawa betapa PAS mempunyai calun yang sangat lumayan yang berkaliber yang boleh kita kemukakan. (Gambar - Mahfudz bertemu orang ramai selepas ceramah semalam)


“Tok Guru Nik Aziz pandang orang itu kalibe, pemuda pandang orang ini caliber, mungkin ada pandangan yang lain berpandangan bahawa ada pihak lain yang berkaliber.

“itu bermakna bahawa kita (PAS) memiliki jumlah calun yang berkaliber itu mempunyai satu jumlah yang snagat banyak yang boleh kita tonjolkan,”katanya yang ditemui selepas majlis ceramah di Kampung Cabang Tiga dekat sini semalam.

Mahfudz berkata siapa pun yang akan PAS pilih nanti ialah hakikatnya mereka yang mempunyai kredibiliti, kaliber yag tinggi yang mempunyai komitmen yang tonggi kepada perjuangan untuk parti untuk agama untuk bangsa untuk rakyat dan untuk Negara.

Katanya Ini yang ada kepada PAS, sebab itu akhirnya kita akan bulatkan keputusan kepada satu calun sahaja iatu daripada senarai yang ada pada semua pihak itu hanya satu calun yang kita akan kemukakan iaitu calon yang akan mewakili parti kita

Apabila ditanya samada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung semalam telah memuktamadkan siapakah yang akan menjadi calun, beliau mengesahkan bahawa ia belum di muktamadkan lagi.

“Kita (PAS) akan pilih yang terbaik untuk dikemukan kepada rakyat,”katanya

Beliau yang juga anggota parlimen Pokok Sena berkata keputusan PAS mengumumkan calun pada 1 Januari depan tidak boleh dianggap terlambat.

”Sebab kita punya masa yang masih panjang dan kita (PAS) yakin bahawa calun yang akan kita pilih ini merupakan calun yang sudah dikenali sudah ketahui oleh rakyat khususnya oleh pengundi-pengundi di Kuala Terengganu,

”cuma kita nak tengok mana yang lebih baik dan yang terbaik,”tambahnya.

Semak Pemilih Melalui SMS Dengan SPR

PUTRAJAYA: Daftar Pemilih Pilihan Raya yang diwartakan pada 5 Disember lalu akan digunakan untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ngah Senik berkata, daftar pemilih tersebut mengandungi 80,229 pemilih, terdiri daripada 79,194 pemilih biasa dan 1,035 pemilih pos.

Menurut beliau, semua pemilih boleh menyemak maklumat pengundian mereka termasuk nama pusat mengundi, nombor tempat mengundi (saluran) dan nombor siri pemilih menerusi laman web rasmi SPR iaitu www.spr.gov.my.

"SPR juga ada menyediakan khidmat Sistem Pesanan Ringkas (SMs) dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

"Perkhidmatan ini mula beroperasi hari ini sehingga 17 Januari depan dan setiap sms dikenakan caj sebanyak 35 sen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ngah berkata, pemilih perlu menaip SPR NO KAD PENGENALAN dan menghantar sms itu ke nombor 15888 untuk mendapat maklumat yang mereka inginkan.

"Selain itu, mereka juga boleh membuat penyemakan di bilik gerakan Pejabat Pilihan Raya Negeri dengan menghubungi talian 09 6221218 atau 09 6236161 mulai pukul 8 pagi sehingga 12 malam setiap hari bermula hari ini hingga 17 Januari depan," katanya. BERNAMA

Pemuda PAS Akan Berkampung Di Rumah-rumah Pengundi

Kuala Terengganu - Pemuda PAS tidak memerlukan bilik hotel tetapi akan menetap di rumah-rumah rakyat di seluruh kawasan parlimen Kuala Terengganu untuk menggerakkan usaha bersungguh-sungguh memenangkan pilihanraya kecil (PRK) Kuala Terengganu.

”Jentera ini (pemuda) akan masuk setiap rumah pengundi-pengundi kita dan ini secara langsung kami yakin akan memberikan manfaat dan impak yang besar untuk mereka (para pengundi) memberikan sokongan kepada kami (PAS),” kata Ketua Pemuda PAS, Salehuddin Ayob dalam sidang media yang diadakan di Markaz Tarbiah PAS Kuala Terengganu dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berita yang menyatakan bahawa pemuda UMNO telah menempah sebanyak 1000 buah bilik hotel bagi menempatkan petugasnya sepanjang PRK Kuala Terengganu

Beliau berkata pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda akan diadakan malam ini (20 Disember) dalam satu majlis yang dinamakan Pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda Pakatan Rakyat.

Katanya beliau sendiri, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Samsul Iskandar dan juga Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang akan berucap dalam majlis tersebut.


Salehuddin turut mengumumkan pada sdang media tersebut program Himpunan Menentang ISA, di mana pelancarannya akan diadakan pada 29 Disember depan di Stadum Bangi, Selangor.

”Pelancaran ini adalah merupakan satu pelancaran untuk kita menggerakkan massa seluruh rakyat dalam negara kita ini untuk hapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act),”ujarnya.

Menurutnya perhimpunan yang menyamai perhimpunan aman BERSIH yang diadakan pada November tahun lalu itu akan diadakan pada satu tarikh dalam bulan Mac tahun depan.

”Kita (akan) menggerakkan rakyat dalam negara kita ini supaya akta (ISA) ini dimansuhkan dan tidak lagi beroperasi atau berjalan dalam negara kita ini setelah negara kita merdeka lebih daripada 50 tahun,”tambahnya

Friday, December 19, 2008

Jemaah haji Kuala Terengganu sempat pulang mengundi


KUALA LUMPUR 19 Dis. — Jemaah haji dari Terengganu khususnya yang berasal dari Kuala Terengganu masih sempat menunaikan kewajipan mereka mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu memandangkan penerbangan terakhir pulang ke negeri itu ialah pada 9 Jan ini.

Pengarah Operasi Media Haji Musim 1429, Abdul Rashid Hussein berkata penerbangan terakhir jemaah lain pula dijadual pada 12 Jan ini.


“Jemaah yang belum pulang masih sempat mengundi pada pilihan raya kecil 17 Jan memandangkan penerbangan terakhir ke Terengganu yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada 9 Jan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail yang dipercayai akibat serangan jantung di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands pada 28 Nov lepas.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 6 Jan sementara jika ada pertandingan, hari mengundi pada 17 Jan. - Bernama

Thursday, December 18, 2008

Gurindam Nik Aziz buat pengundi Kuala Terengganu


KOTA BHARU, 18 Dis (Hrkh) - Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengemukakan gurindam untuk bakal pengundi dalam Parlimen Kuala Terengganu sebagai panduan sebelum mengundi.

Gurindam itu antara lain berbunyi:

Nak beri rasuah salah,
tak beri rasuah kalah,
akhirnya jadi serba salah,
kerana itu jom pakat undi PAS.

Beliau menyatakan perkara itu secara spontan kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco pagi tadi ketika diminta mengulas berhubung persediaan PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil itu tahun hadapan.

Sebelum ini beliau pernah mengemukakan gurindam politiknya untuk dimanfaatkan oleh rakyat Kelantan sebelum pilihan raya umum 1990 yang mahsyur sehingga kini.

Gurindam berkenaan antara lain berbunyi:

Beri duit ambil,
beri kain pakai,

beri gula kacau,
bila mengundi pangkah bulan.

Dalam masa yang sama beliau turut menyampaikan salam kepada seluruh warga pengundi Parlimen Kuala Terengganu supaya mengundi calon PAS dalam pilihan raya kecil itu pada 17 Januari tahun hadapan.

Menurutnya, tiada sebab calon PAS perlu ditolak dalam mana-mana pilihan raya memandangkan parti itu juga mampu melaksanakan apa yang dibuat oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Apa yang BN buat, PAS juga boleh buat, seperti pembangunan, nak jaga Melayu, kita juga boleh berbuat demikian, jadi tiada sebab Umno dan BN diberi peluang sekali lagi untuk memilih mereka.

"Sedangkan pada waktu yang sama Allah telah memberi ruang pada manusia menilai setiap apa yang ada di hadapan mereka, contohnya terhadap pentadbiran kerajaan PAS Kelantan,"ujarnya lagi.

Tuan Guru memberitahu, apa yang berbeza Umno memperjuangkan kebangsaan, sebaliknya PAS dasar Islam yang wajar disokong oleh semua pihak.

Tambahnya lagi, kerana keyakinan terhadap perjuangan PAS mereka menubuhkan Kelab Penyokong PAS dan bukannya kelab Umno walaupun sudah lama bersama parti itu.

Beliau juga berkeyakinan calon PAS dijangka akan memenangi dalam pilihan raya kecil itu nanti berikutan pelbagai perkembangan semasa yang berlaku di dalam parti Umno dan kerajaan seperti perpecahan dan rasuah.

Sambungnya, masaalah itu merupakan petaka yang buruk dalam mana-mana Negara sekalipun termasuk Malaysia di mana ianya turut disebut dalam perlembagaan negara.

"Saya tidak kisah siapa yang bakal menjadi calon dalam pilihan raya kecil itu nanti, mana-mana calon yang telah diputuskan dalam mesyuarat berhubung perkara itu wajar disokong.

"Cadangan calon terdahulu Mat Sabu (Mohammad Sabu) hanyalah pandangan peribadi saya saja, kalau nak letak orang lainpun jika itu keputusan mesyuarat parti tiada halangan," ujarnya lagi.

Ketika diminta mengulas berhubug calon bebas juga bakal bertanding dalam pilihan raya itu, PAS menerima dengan terbuka.

"Dia dah bebas, tak boleh nak cakap apa lah, dia bebaslah nak bertanding ke nak apapun," ujarnya lagi.

Tuan Guru turut menolak telah berlaku dua golongan dalam PAS di Terengganu sehingga menjadikan pilihan raya kecil itu nanti sebagai medan untuk menguji kekuasaan masing-masing.

"Itu hanya andaian musuh, oleh kerana musuh dalam keadaan kelam kabut sekarang, jadi pandai-pandailah dia mengadakan sesuatu pada parti lawan, itu memang dah jadi kaedah manusia.

"Biarlah lawan nak kata PAS sampai ada dua tiga kumpulan pun namun yang penting kita akan berdepan dengan senang hati," ujarnya.

Najib umum calon BN esok

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan diumumkan Sabtu ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mengesahkan mengenai perkara itu ketika ditanya oleh pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) projek
Edible Garden di antara Felda dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Najib enggan mengulas lanjut mengenai calon BN yang akan diumumkan Sabtu ini.


Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu.


Pada pilihan raya 8 Mac lalu, Razali menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.


Berikutan kekosongan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh pilihan raya kecil kawasan itu manakala 6 Januari sebagai hari penamaan calon.

Skuad AMK Kemaman siap sedia ke Kuala Terengganu

CHUKAI - Hasrat membantu calon PAS merampas semula kerusi Parlimen Kuala Terengganu mendorong Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kemaman menubuhkan Skuad AMK Kemaman bagi membantu kempen pilihan raya kecil yang dijadualkan pada 17 Januari depan.

Setakat ini, seramai 80 anggota AMK terdiri daripada kalangan belia telah mendaftar untuk menyertai skuad tersebut.

Pemangku Ketua AMK Bahagian Kemaman, Suffiean Sulaiman berkata, anggota skuad berkenaan berusia antara 18 tahun hingga 22 tahun dan tugas utama mereka tertumpu kepada kawalan keselamatan jalan raya, pengiring dan menjaga makan minum petugas sepanjang kempen pilihan raya.

“Mereka akan berada di Kuala Terengganu bermula pada hari penamaan calon hingga ke saat pembuangan undi. Pelbagai kemudahan akan disediakan kepada mereka seperti tempat tinggal, pengangkutan dan keperluan makan minum,”katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, mesyuarat khas telah dijalankan bersama kepimpinan AMK negeri Terengganu dan mereka sebulat suara bersetuju dengan rancangan penubuhan skuad terbabit.

“Saya menjangka penyertaan anggota skuad akan bertambah terutama menjelang hari penamaan calon. Keyakinan saya kerana belia di sini dilihat lebih menyebelahi Pakatan Rakyat (PR) berdasarkan tinjauan semasa Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu,” kata Suffiean.

Menurut beliau, pihaknya mempunyai perancangan tersendiri untuk Skuad AMK Kemaman kerana mereka yang dipilih terdiri daripada belia yang berpotensi dan mempunyai semangat juang yang tinggi untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara menerusi perjuangan politik.

“Pihak kami akan melatih mereka untuk menjadi pelapis kepimpinan AMK Kemaman pada masa hadapan. Sasaran kami untuk mencari seramai 150 belia bagi berkhidmat di Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil itu,”katanya.

Mengulas mengenai perancangan Skuad AMK setelah berakhir kempen pilihan raya itu nanti, Suffiean berkata, mereka akan memanggil skuad tersebut dalam pelbagai aktiviti dan program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun.

“Mereka tidak perlu bimbang kerana kami mahu membentuk mereka menjadi generasi muda berketerampilan tinggi selain mempunyai nilai moral yang murni. Buat masa ini, kami belum memutuskan untuk membayar elaun kepada mereka,”katanya.

Wednesday, December 17, 2008

Nik Aziz Yakin Pas Akan Menang Besar Pilihan Raya Kecil Terengganu

KOTA BAHARU, 17 Dis (Bernama) -- Belum pun penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diumumkan oleh mana-mana parti yang bertanding, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini berkata beliau begitu yakin Pas akan menang besar pada pilihan raya itu, 17 Januari depan.

Menteri Besar Kelantan itu berkata keyakinan itu berikutan calon Pas yang akan bertanding pada pilihan raya itu pastinya antara yang terbaik.

"Calon memang tak bahas lagi, tapi kita bercakap pada dasar dan kita yakin sangat akan menang, kalau tidak yakin macam mana nak jadi orang Islam kerana Islam memerlukan keyakinan.

"Bukan itu sahaja, segala apa yang Umno buat selama ini Pas juga boleh buat, pembangunan, Pas boleh buat, nak jaga Melayu, Pas boleh jaga, tak ada sebab langsung untuk Umno dipilih," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini.

Sebelum ini Nik Aziz sudah mempunyai calon pilihan iaitu Mohamad Sabu (Mat Sabu) untuk bertanding bagi kerusi tersebut.

Bagaimanapun, berlaku pergolakan di dalam jawatan kuasa Pas pusat menolak pilihan Nik Aziz itu kerana Mat Sabu dikatakan bukan calon sesuai biarpun pernah bertanding bagi kerusi parlimen itu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustapa Ali; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Batu Buruk, Doktor Syed Azman Syed Ahmad antara calon yang disebut-sebut akan bertanding dalam pilihan raya itu.

Pas akan mengumumkan secara rasmi calonnya pada 21 Disember ini.

Selain itu Nik Aziz berkata, rakyat daripada pelbagai kaum dan agama juga dilihat memberi sokongan penuh terhadap parti itu yang sentiasa mempertahan dan bertunjangkan kebenaran.

Beliau berkata, sokongan segenap lapisan rakyat itu turut terbukti apabila kaum Cina dan India telah secara sukarela menubuhkan kelab penyokong Pas.

-- BERNAMA

Tuesday, December 16, 2008

Mat Tyson Mulakan Kempen Awal, Ugut Pengundi, “Politik bergolak jika BN tewas?”

Kuala Terengganu – Belum pun kempen bermula, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib atau dikenali dengan gelaran politiknya sebagai ‘Mat Tyson’ mula menggunakan ugutan dalam secara halus dalam ucapannya dimajlis perjumpaan dengan pemimpin MCA disini.

Beliau berkata keadaan politik di negara ini akan terus bergolak sekiranya Barisan Nasional (BN) tidak mampu mengekalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Beliau seterusnya berkata, ketidakstabilan politik itu sudah pasti akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara di samping turut menjejaskan pendapatan seharian rakyat.

Selain menggunakan ugutan beliau turut menuduh pembangkang membuat njanji kosong terutamanya keatas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan kerajaan baru Pakatan Rakyat (PR.

“Oleh itu, jentera BN termasuk MCA perlu bekerja lebih kuat memberi keyakinan kepada pengundi terutama masyarakat Cina supaya terus mengundi BN,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan dengan Pemimpin MCA, di kampung Cina Kuala Terengganu kelmarin.

Taktik jahat dan kotor Mat Tyson serta pemimpin UMNO dan Barisan Nasional memulakan kempen lebih awal dari tempoh yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya dijangka berterusan.

Dengan menggunakan status Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mat Tyson terus mengugut para pengundi dengan berkata terus berkata semua pengundi harus memberi undi majoriti lebih besar berbanding 8 Mac lalu.

Tohmahan adalah kata-kata pemimpin UMNO/BN setelah mereka sendiri kita dilambung ombak perpecahan dalaman diantara MIC dan MCA.

Beliau berkata kemenangan BN di Kuala Terengganu dengan majoriti kecil dalam Pilihanraya Umum lalu adalah kerana mainan dan janji palsu yang ditabur pembangkang sedangkan sejarah telah menunjukkan bahawa pengundi Parlimen Kuala Terengganu adalah pengundi yang lebih matang kerana pernah beberapa kali membuat pilihan yang bebas dengan memilih pembangkang.

“Bagi merealisasikannya, semua parti komponen BN sama ada UMNO, MCA mahupun MIC perlu bekerjasama walaupun siapa juga yang menjadi calon agar kita berjaya kekal di Parlimen Kuala Terengganu,” dakwa Mat Tyson yang menunjukkan benarnya berlaku perpecahan diantara parti-parti komponen Barisan Nasional .

Wan Farid Bukan Calon BN?


Nampaknya sah Wan Farid bukan calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu apabila beliau dilantik semula sebagai Senator oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu buat penggal kedua mulai semalam. Turut dilantik Senator ialah Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Fatimah Ahmad yang menggantikan Ketua Puteri UMNO Terengganu, Nordiana Shafie.

Kuasa melantik Senator yang mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu ialah Menteri Besar, Ahmad Said. Jika Ahmad Said mahu letakkan Wan Farid sebagai calon BN di Kuala Terengganu, Ahmad Said tak perlu sambung perkhidmatan senator Wan Farid untuk tiga tahun lagi. Lebih baik beliau cadangkan nama lain untuk senator.

Tetapi oleh kerana Ahmad Said rasa beliau perlu dikekalkan sebagai timbalan menteri, maka senatornya perlu disambung semula. Walau bagaimanapun terpulang kepada Pengerusi BN, Pak Lah sama ada mahu meletakkan Wan Farid sebagai calon.

Jika Wan Farid dipilih calon, ini bermakna beliau kena letak jawatan senatornya. Jadi Dewan Undangan Negeri perlu melantik orang lain pula sebagai senator yang baru. Ini sudah tentu menyulitkan Dewan Undangan Negeri yang terpaksa bersidang semula.

Jadi lebih baiklah Pak Lah memilih orang lain sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu kerana Wan Farid tidak perlu kehilangan jawatan senator dan timbalan menteri – Dipetik dari BlogWeb, Memo Belakang

Monday, December 15, 2008

Peniaga getah umum bertanding calon bebas

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga getah, Isma Airfath Hassanuddin, 38, mengumumkan hasratnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan bagi membersihkan namanya yang tercemar ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), Mac lalu.

Isma Airfath yang berasal dari Kampung Kok Pauh, Rantau Panjang, Kelantan pernah bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang kepala harimau untuk Parlimen Rantau Panjang pada PRU12 dan kalah kepada calon Pas, Siti Zailah Mohd Yusoff dengan majoriti 4,486 undi.

Walaupun kalah pada PRU12 lalu dan hanya mendapat 320 undi, dia berkata, semangat dan keazaman untuk berjuang dalam dirinya masih kuat dan akan tetap bertanding selagi termampu.

Katanya, dia berasa terpanggil untuk bertanding atas kemahuan sendiri tanpa ditaja oleh sesiapa dan demi membuktikan bahawa proses demokrasi masih berjalan di negara ini.

"Sebelum ini saya pernah dikecam dan difitnah teruk kononnya bertanding atas tajaan sesetengah pihak. Oleh itu, motif utama saya masuk bertanding kali ini adalah untuk membersihkan nama baik saya yang tercemar sebelum ini.

"Saya harap kali ini tidak ada gangguan daripada mana-mana pihak dan saya boleh bertanding dengan aman,"katanya dalam satu sidang media di sebuah resort di sini, semalam.

Pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu perlu diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 November lalu.

Isma Airfath yang akan tetap menggunakan lambang kepala harimau kali ini berkata, dia tidak takut mengambil risiko seperti hilang wang pertaruhan pada PRU12 kerana baginya, kejayaan hanya boleh dikecapi apabila seseorang itu berani mengambil risiko.

Katanya, walaupun bertanding di tempat asing, dia yakin peluangnya cerah kerana mendapat sokongan rakan dan saudara mara yang tinggal di Kuala Terengganu.

"Saya tak takut ambil risiko kerana kehidupan sebagai peniaga sememangnya penuh dengan cabaran. Saya juga mempunyai ramai kenalan di sini terutama daripada kelab motor dan pelanggan. Oleh itu, saya yakin akan mendapat sokongan penuh mereka.

"Keluarga juga memberi galakan supaya saya masuk bertanding kali ini. Kalau dapat jadi Ahli Parlimen...rezekilah,"katanya.

Ditanya adakah dia yakin mampu menewaskan calon bebas, Maimun Yusof,82 yang turut mengumumkan hasrat untuk bertanding, dia berkata, perkara itu tidak akan menjejaskan semangatnya kerana masing-masing mempunyai peluang tersendiri . - Berita Online