Friday, January 9, 2009

PM pelik orang Umno cakap tak elok tentang Wan Farid


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau pelik kerana orang Umno yang lebih banyak bercakap mengenai yang tidak elok terhadap calon BN bagi pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berbanding dengan pihak pembangkang.

Abdullah berkata, beliau tidak tahu yang calon BN bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu, sombong.

“Orang kata dia sombong, saya tidak tahu. Kalau saya tahu dia sombong, saya tidak ambil dia jadi setiausaha politik saya,” katanya yang dipetik Malaysiakini

Beliau menegaskan demikian di majlis bersama pemimpin Wanita Umno di Kuala Terengganu malam tadi.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Wan Ahmad Farid.

Bagaimanapun, beliau berharap Wan Ahmad Farid pandai membawa diri berdepan dengan pengundi Kuala Terengganu.


Sikap Wan Farid yang didakwa sombong dan tidak pandai bergaul dengan orang ramai, menjadi buah mulut di kalangan orang ramai.

Bukan sahaja orang ramai, malah ada juga sebilangan penyokong Umno yang dikatakan merungut kerana sukar untuk bertemu dengan Wan Ahmad Farid.

Dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan 17 Januari ini, Wan Ahmad Farid menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Adam .

Abdullah juga mengingatkan pemimpin Umno supaya melupakan sekejap kempen untuk jawatan parti Mac depan sepanjang tempoh kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu sekarang.

“Lupakan sekejap kempen tersebut kerana kita hendak menang dalam pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu.

“Utamakan yang ini dulu, jangan sibuk untuk kepentingan parti,” katanya.

Perhimpunan agung Umno akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur 24 hingga 28 Mac depan.

No comments: