Kuala Terengganu, 8 Januari - Pelancaran Bilik Gerakan Utama Parti Keadilan Rakyat Malaysia bukan sekadar simbol kehadiran ahli-ahli dan penyokong PKR namun merupakan komitmen kerja parti tersebut.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh muafakat Pakatan Rakyat cukup padu selain jentera PKR para petugas PAS seluruh negara berhempas pulas membantu memenangkan beliau.
”Jentera PAS seluruh Malaysia dikerahkan dan bekerja berhempas pulas seolah-olah calon itu calon PAS,
Beliau berkata demikian kerana menurutnya tugas pihak media yang dikuasai oleh Barisan Nasional adalah untuk memecah belahkan perpaduan Pakatan Rakyat (PR).
Beliau berkata walaupun pengundi Cina tidak ramai di Kuala Terengganu namun kehadiran pemimpin-pemimpin bukan Melayu dari PKR dan pemimpin utama Parti Tindakan Demokratik (DAP) menunjukkan muafakat PR adalah jelas.
Katanya muafakat parti-parti PR jelas dalam menghormati prinsip-prinsip perlembagaan yang mempertahankan kedudukan raja-raja, kedudukan Islam sebagi agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta hak-hak orang Melayu dan Bumiputera.
”Tetapi kita tekankan dalam masa yang sama penghayatan Islam dan mengangkat kedudukan Islam itu tidak sekali-sekali bercanggah dengan hak dan kebebasan hak agama yang dianuti oleh rakan-rakan kita yang lain,”tegasnya.
Dalam perkembangan yang sama Anwar berkata pemuafakatan PR adalah lebih demoktratik dan matang berbanding Barisan Nasional.
Beliau menjelaskan parti-parti dalam PR tidak akan bergabung dengan satu muafakat yang akan mengikat kebebasan parti-parti tersebut menyuarakan perbezaan antara satu sama lain.
”Premis dia kena ’clear’ (jelas), kita menerima proses demokrasi, orang nak bercakap, bercakaplah, mengapa dalam kita bicarakan soal demokrasi kita kurang sabar bila kita mendengar satu pandangan yang kurang enak kita dengar,
”Saya tidak terlalu sensitif apabila ada pandangan-pandangan dan kenyataan antara PKR, PAS dan DAP yang tidak disepakti dengan jelas, kita harus beri ruang,
”Ini (Pakatan Rakyat) bukan Barisan Nasional dimana pimpinan UMNO boleh memerintah (dictates) kemudian pimpinan MCA, Gerakan dan MIC semuanya menurut tanpa bantahan,
”Muafakat kita (Pakatan Rakyat) ini lebih demoktratik lebih matang, itu prinsip kita, kita tidak mahu ada sesuatu yang terikat,”ujar beliau.
Oleh yang demikian beliau berkata pendirian PAS tentang Islam adalah jelas dan ianya bukanlah satu perkara yang baru.
Katanya penjelasan telah dibuat berulangkali dan dijelaskan sekali lagi oleh Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi bahawa beberapa peruntukan dalam undang-undang Islam yang dipanggil Hudud itu hanya diterima pakai bagi umat Islam sahaja.
”Secara umum Pakatan Rakyat mahu dengan jelas kedudukan Islam sebagai agama persekutuan itu dipandang secara serius bukan sebagai upacara rasmi,
”Memberi ruang kepada umat Islam menghayati dengan mengangkat kedudukan Islam khususnya bagi umat Islam bukan setakat kahwin, secara dan beberapa aspek hukum,”tambahnya.
No comments:
Post a Comment