Friday, January 23, 2009

Wahid Menang Dengan Majoriti Lebih Besar



Kuala Terengganu - Calon Pakatan Rakyat dari PAS, Hj Mohd Abdul Wahid Endut telah memenangi kerusi parlimen P.036 Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil disini hari ini, dengan majoriti yang lebih besar.

Keputusan rasmi kemenangan Pakatan Rakyat itu diumumkan jam 9.30 malam tadi yang mengisytiharkan Mohd Abdul Wahid,52, memperolehi 32,883 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendapat 30,252 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan mengumumkan kemenangan Wahid dengan majoriti 2,631 undi di Stadium Negeri.

Selepas keputusan diumumkan, beliau disambut oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Dalam sidang media selepas itu, Mohd Abdul Wahid menafikan undi yang diterima daripada pengundi Cina tidak memuaskan bahkan beliau berkata undi yang diterima pada pilihanraya kecil ini lebih tinggi berbanding pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu.

"Kami (PAS dan Pakatan Rakyat) akan membuat bedah siasat (post-mortem) untuk melihat arah aliran penyokong Cina," katanya.

Mohd Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, beliau akan membawa isu royalti minyak serta pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke Parlimen.

"Ini (isu) yang saya akan tumpukan dan akan dijelaskan kemudian," katanya.

Sementara itu, di luar Stadium Negeri di sini, kira-kira 5,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat berkumpul untuk meraikan kemenagan manis mereka setelah bertungkus lumus berkempen selama sebelas hari

Pada masa yang sama, pihak BN yang kalah dalam pertarungan kali ini telah mengadakan sidang media di rumah kediaman rasmi Meneteri Besar Terengganu.

Dalam sidang tersebut Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun ia merupakan kekecewaan kepada BN namun tetap menghormati keputusan rakyat.

Friday, January 9, 2009

PM pelik orang Umno cakap tak elok tentang Wan Farid


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau pelik kerana orang Umno yang lebih banyak bercakap mengenai yang tidak elok terhadap calon BN bagi pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, berbanding dengan pihak pembangkang.

Abdullah berkata, beliau tidak tahu yang calon BN bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu, sombong.

“Orang kata dia sombong, saya tidak tahu. Kalau saya tahu dia sombong, saya tidak ambil dia jadi setiausaha politik saya,” katanya yang dipetik Malaysiakini

Beliau menegaskan demikian di majlis bersama pemimpin Wanita Umno di Kuala Terengganu malam tadi.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Wan Ahmad Farid.

Bagaimanapun, beliau berharap Wan Ahmad Farid pandai membawa diri berdepan dengan pengundi Kuala Terengganu.


Sikap Wan Farid yang didakwa sombong dan tidak pandai bergaul dengan orang ramai, menjadi buah mulut di kalangan orang ramai.

Bukan sahaja orang ramai, malah ada juga sebilangan penyokong Umno yang dikatakan merungut kerana sukar untuk bertemu dengan Wan Ahmad Farid.

Dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan 17 Januari ini, Wan Ahmad Farid menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Adam .

Abdullah juga mengingatkan pemimpin Umno supaya melupakan sekejap kempen untuk jawatan parti Mac depan sepanjang tempoh kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu sekarang.

“Lupakan sekejap kempen tersebut kerana kita hendak menang dalam pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu.

“Utamakan yang ini dulu, jangan sibuk untuk kepentingan parti,” katanya.

Perhimpunan agung Umno akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur 24 hingga 28 Mac depan.

Perlaksanaan Islam - Pakatan Rakyat Lebih Demokratik dan Matang


Kuala Terengganu, 8 Januari - Pelancaran Bilik Gerakan Utama Parti Keadilan Rakyat Malaysia bukan sekadar simbol kehadiran ahli-ahli dan penyokong PKR namun merupakan komitmen kerja parti tersebut.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh muafakat Pakatan Rakyat cukup padu selain jentera PKR para petugas PAS seluruh negara berhempas pulas membantu memenangkan beliau.

”Jentera PAS seluruh Malaysia dikerahkan dan bekerja berhempas pulas seolah-olah calon itu calon PAS,

”Kita (PKR) juga diminta bekerja (pilihanraya kecil Kuala Terengganu) seolah-olah calon (PAS) itu adalah calon PKR, tidak ada perbezaan dari segi simbol,”jelas Anwar sewaktu merasmikan pelancaran bilik gerakan utama PKR di Gong Kapas, dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian kerana menurutnya tugas pihak media yang dikuasai oleh Barisan Nasional adalah untuk memecah belahkan perpaduan Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata walaupun pengundi Cina tidak ramai di Kuala Terengganu namun kehadiran pemimpin-pemimpin bukan Melayu dari PKR dan pemimpin utama Parti Tindakan Demokratik (DAP) menunjukkan muafakat PR adalah jelas.

Katanya muafakat parti-parti PR jelas dalam menghormati prinsip-prinsip perlembagaan yang mempertahankan kedudukan raja-raja, kedudukan Islam sebagi agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta hak-hak orang Melayu dan Bumiputera. 

”Tetapi kita tekankan dalam masa yang sama penghayatan Islam dan mengangkat kedudukan Islam itu tidak sekali-sekali bercanggah dengan hak dan kebebasan hak agama yang dianuti oleh rakan-rakan kita yang lain,”tegasnya.

Dalam perkembangan yang sama Anwar berkata pemuafakatan PR adalah lebih demoktratik dan matang berbanding Barisan Nasional.

http://buletinonline.net/images/stories/berita/IMG_7505.JPGBeliau menjelaskan parti-parti dalam PR tidak akan bergabung dengan satu muafakat yang akan mengikat kebebasan parti-parti tersebut menyuarakan perbezaan antara satu sama lain. 

”Premis dia kena ’clear’ (jelas), kita menerima proses demokrasi, orang nak bercakap, bercakaplah, mengapa dalam kita bicarakan soal demokrasi kita kurang sabar bila kita mendengar satu pandangan yang kurang enak kita dengar,

”Saya tidak terlalu sensitif apabila ada pandangan-pandangan dan kenyataan antara PKR, PAS dan DAP yang tidak disepakti dengan jelas, kita harus beri ruang,

”Ini (Pakatan Rakyat) bukan Barisan Nasional dimana pimpinan UMNO boleh memerintah (dictates) kemudian pimpinan MCA, Gerakan dan MIC semuanya menurut tanpa bantahan,

”Muafakat kita (Pakatan Rakyat) ini lebih demoktratik lebih matang, itu prinsip kita, kita tidak mahu ada sesuatu yang terikat,”ujar beliau.

Oleh yang demikian beliau berkata pendirian PAS tentang Islam adalah jelas dan ianya bukanlah satu perkara yang baru.

Katanya penjelasan telah dibuat berulangkali dan dijelaskan sekali lagi oleh Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi bahawa beberapa peruntukan dalam undang-undang Islam yang dipanggil Hudud itu hanya diterima pakai bagi umat Islam sahaja.

”Secara umum Pakatan Rakyat mahu dengan jelas kedudukan Islam sebagai agama persekutuan itu dipandang secara serius bukan sebagai upacara rasmi,

”Memberi ruang kepada umat Islam menghayati dengan mengangkat kedudukan Islam khususnya bagi umat Islam bukan setakat kahwin, secara dan beberapa aspek hukum,”tambahnya.

Thursday, January 8, 2009

PRK Kuala Terengganu tentukan PRU 13


Kuala Terengganu – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu adalah penting bagi kedua-dua pihak Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) dalam menentukan hala tuju pilihan raya umum (PRU) yang ke 13.

“Jika BN kalah dan InsyaAllah BN akan kalah, yang paling terkesan adalah ’Perdana Menteri akan datang’ Dato’ Seri Najib Razak yang mengetuai kempen BN” kata Timbalan Pengarah Jentera Induk PAS Dato’  Mustafa Ali dalam Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Gong Kapas dekat sini semalam. 


Menurutnya, keputusan PRK Parlimen Kuala Terengganu akan memberi kesan yang besar kepada pilihan raya umum yang ke 13 akan datang.
 
Beliau berkata kebangkitan rakyat sedang berlaku dikalangan masyarakat Melayu, Cina dan India ekoran daripada kelemahan kerajaan BN dan parti-parti komponennya yang sedang mengalami perpecahan dalaman.


Beliau berkata, kemenangan Pakatan Rakyat dan InsyaAllah Pakatan Rakyat akan menang dalam PRK Kuala Terengganu akan memberi kekuatan baru kepada rakyat seluruhnya.

“Kemenangan Pakatan Rakyat akan mengubah senario politik Negara secara total” katanya

Oleh yang demikian beliau menyeru seluruh tenaga dan kekuatan Pakatan Rakyat mesti digembelinkan dengan sepenuhnya dan digunakan bagi memastikan calon PAS Mohd Abd Wahid Endut yang mewakili Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya kecil kuala Terengganu.

Justeru semua petugas-petugas pilihan raya Pakatan Rakyat akan menggunakan kaedah ataupun pendekatan yang mesra pengundi bagi memastikan setiap undi akan memihak kepada Pakatan Rakyat.

Katanya kekuatan Pakatan Rakyat  masa kini sukar ditandingi oleh Barisan Nasional kerana perpaduan dikalangan pemimpin dan ahli pakatan rakyat begitu kukuh.

”Berbanding dengan komponen Barisan Nasional misalnya MCA dimana umumnya mengetahui diantara pemimpin nombor satu dan nombor dua MCA tidak bersefahaman,

“bila Presiden MCA Ong Tee Kiat datang ke Terengganu untuk berkempen, Timbalan Presidennya, Chua Soi Lek tidak akan hadir, sebaliknya apabila Chua Soi Lek yang datang untuk berkempen di Kuala Terengganu, Ong Tee Kiat pula yang tidak datang” tegasnya memberitahu para hadirin pertemuannya secara kebetulan dengan Chua Soi Lek baru-baru.   

Beliau menyeru semua petugas pilihan raya Pakatan Rakyat  bekerja bersungguh-sungguh sehingga calon PAS mencapai kemenangan dan isytiharkan sebagai ahli perlimen Kuala Terengganu pada Januari depan.

Tuesday, January 6, 2009

Monday, January 5, 2009

Fariz Musa Ditahan Polis


Kuala Terengganu – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri Terengganu Fariz Musa telah ditahan oleh sepasukan tiga kereta peronda polis pada jam 5.10 pagi, Isnin 5 Januari. 

Timbalan Ketua AMK Terengganu, Muzafeq Muhammad berkata demikian ketika menghubungi Buletinonline pada jam 5.30 pagi.

”Saya berada di Balai Polis Kuala Terengganu, Fariz telah ditahan dan kini sedang disoal siasat oleh Tuan Azmi dari cawangan Khas,”katanya.

Menurutnya Fariz telah ditahan bersama lima orang skuad AMK ketika sedang menjalankan kerja-kerja berkaitan pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

12 Hari Menjelang PRK P036

Bahang pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu semakin hangat. Tinggal sehari lagi sebelum penamaan calon dibuat. Perang saraf sudah mula diperkatakan, dengan isu yang ditimbulkan dan cara meraih undi di kawasan terlibat, suasana pilihanraya semakin dirasai. 

Kerajaan Barisan Nasional telah menggunakan kedudukan mereka sebagai kerajaan pusat dengan meluluskan pelbagai peruntukan bagi menagih sokongan para pengundi. Walaupun mereka menafikan segala peruntukan yang diberikan itu sebagai 'gula-gula' pilihanraya, tetapi rakyat dapat menilai sendiri kebenaran penafian mereka.


Kenapa diambang PRK sesebuah kawasan, bantuan mencurah-curah telah dihulurkan oleh kerajaan pusat? Kenapa sebelum daripada itu, mereka tidak memberi peruntukan yang sama bagi mempertingkatkan mutu kehidupan rakyat di kawasan tersebut ?

Jangan beri alasan peruntukan belum diluluskan dan menunggu giliran sahaja, rakyat bukan bodoh untuk menilai kata-kata mereka itu. Bukan sahaja di Kuala Terengganu ini diberi peruntukkan RM200 000 untuk memperbaiki 2 buah jalan. Tetapi pada setiap kali pilihanraya kecil yang akan berlangsung, kawasan tersebut akan menerima pelbagai bantuan dan peruntukan daripada kerajaan pusat.

Apakah ini bukan dinamakan gula-gula pilihanraya, atau sebagai durian runtuh penduduk setempat ?

Menjelang PRK P036 ini, penduduk Terengganu akan bertambah dengan begitu ketara sekali. Bukan sahaja dikalangan petugas dan penyokong parti-parti bertanding, bahkan Terengganu akan dibanjiri dengan kehadiran anggota polis. Kita dapat lihat, malah berita tentang kebanjiran polis di Kuala Terengganu telah diakui sendiri oleh pihak berkenaan. Seramai 6 000 orang anggota polis akan berkampung di Kuala Terengganu menjelang PRK P036 ini nanti. Apa tujuan sebenarnya pemusatan anggota polis yang terlalu ramai di P036 ini ? Huru-hara akan berlaku ? Betulkah khabar angin ini, dan daripada manakah sumber ini diperolehi ?

Jangan jadi seperti isu penggunaan dakwat hitam pada PRU12 yang lalu. Atau adakah ini provokasi yang akan dicipta oleh mereka sendiri ?

Ingatlah rakyat Terengganu, janganlah kita memilih kerajaan yang ada sekarang ini. Sejak PRU12 yang lalu, pelbagai konflik yang ditimbulkan oleh Barisan Nasional. Malah yang paling ketara adalah kenaikan harga minyak yang telah membawa kepada kenaikan harga barang-barang keperluan lain. Kos sara hidup semakin meningkat, dan hidup rakyat semakin sengsara dan tertekan. Walaupun kerajaan telah menurunkan harga petrol dan diesel, tetapi harga barang keperluan lain tidak turun-turun juga. Kehidupan rakyat semakin susah, jangan jadikan alasan ekonomi global yang meleset. Tetapi nilaikan dimanakah usaha kerajaan untuk membantu meringankan bebanan rakyat bukan memenuhi tembolok kroni-kroni sahaja.

Nilailah dengan penuh kewarasan, dengan mata hati bukan dengan mata yang telah 'dikelabukan' dengan janji-janji yang bersifat sementara antara YB Hj Mohd abdul Wahid Endut dan Dato' Wan Farid, siapakah yang layak mewakili kita di parlimen dan seterusnya membela nasib kita dimasa akan datang dengan penuh amanah.

Ingat setiap undi yang dibuat sangat bernilai dan membawa impak yang sangat besar kepada kerajaan negeri dan pusat. Jalankan tanggungjawab anda dengan sebaik mungkin. Jangan menyesal dikemudian hari.

Pemilihan sebagai calon saya anggap sebagai satu tanggungjawab, bukan satu peluang - Wahid



Kereta Pacuan empat roda Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Wakaf Mempelam, Mohd. Abdul Wahid Endut yang dipilih sebagai calon PAS dan Pakatan Rakyat kerusi Parlimen Kuala Terengganu bernombor pendaftaran "TAG 176".

Jika ia disusun semula, angka "6" merujuk kepada tarikh penamaan calon iaitu Selasa ini manakala "17" pula hari pengundian. Bermakna angka "176" perlu dan jika dibaca "617", ia menandakan tarikh masing-masing bagi hari penamaan calon dan hari pengundian kelak pilihan raya kecil kali ini.

"Ia secara kebetulan sahaja," balas Ketua PAS Bahagian Kuala Terengganu ini.

"Sebenarnya nombor lot rumah saya pun 176 juga, mungkin isyarat baik (untuk kemenangan)," kata beliau dalam pertemuan pertama ringkas dengan wartawan mStar Online dan The Star selepas menemui penyokongnya di Kampung Seri Ladang di kawasan Dewan Undangan Negeri Ladang malam tadi.

Perkara ini sengaja diajukan kepada beliau sebagai permulaan bicara dengannya yang diumumkan sebagai calon PAS dan Pakatan Rakyat 1 Januari lalu.

Kemudian, pukul 10.15 malam Abdul Wahid berkejar ke dua lokasi yang lain untuk menemui seramai mungkin penyokong dan penduduk tempatan sebelum hari penamaan calon Selasa ini.

Semasa ditemui kira-kira 12.30 tengah malam di Markas Pemuda Wakaf Mempelam, Abdul Wahid, ADUN Wakaf Mempelam selama lima penggal sejak 1990 mengakui beliau mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mendapatkan balik kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

"(Pemilihan ini) sebagai calon saya anggap sebagai satu tanggungjawab, bukan satu peluang," kata beliau kepada mStar Online.

Awal pagi tadi beliau bertolak ke Shah Alam untuk menemui anak-anak Terengganu di perantauan.

Bagaimanapun kata Bendahari PAS Kuala Terengganu yang berusia 52 tahun ini, beliau tidak keseorangan dalam mencapai misinya.

"Saya tidak keseorangan, sama-sama saya ada penyokong saya (untuk mengharungi cabaran pilihan raya kecil ini)," kata Abdul Wahid sambil menambah, "pilihan raya ini macam kita main bola sepak."

"Akan ada pasukan yang menang dan ada pasukan yang kalah. Tetapi kita mahukan kemenangan," katanya.

PERNAH MINTA TIDAK DICALONKAN

http://buletinonline.net/images/stories/berita/wahidsebak.JPGKetua PAS Kawasan Kuala Terengganu sejak 2003 ini yang sudah tiga dekad berkecimpung dalam politik ini juga mengakui namanya memang ada dalam senarai awal nama calon yang dihantar kepada PAS negeri dan pusat.

"Tetapi saya telah memberitahu bahawa kalau boleh jangan pilih saya (sebagai calon)... itu memang saya dah maklum dari awal," ujar Abdul Wahid yang secara berseloroh menggambarkan dirinya sebagai "ayah kepada sembilan orang anak, bapa mertua kepada tiga menantu dan datuk kepada dua cucu serta suami kepada seorang isteri", atas alasan tugas dan tanggungjawab yang dipikul sekarang.

Bagaimanapun tambah Abdul Wahid, beliau terpaksa menerima tanggungjawab itu apabila diputuskan oleh pucuk kepimpinan.

"Saya tidak boleh menolak," kata beliau yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya pada 1986 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, salah satu daripada empat bahagian DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu. (Gambar - Wahid sebak dan terharu bila di calonkan)

Banyak pihak dan penganalisis menganggap bahawa ADUN Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad akan menjadi calon pilihan. Personaliti lain termasuklah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali. Mac lalu PAS diwakili oleh Naib Presidennya, Mohamed Sabu.

Kerusi Bandar kini masih dikuasai Barisan Nasional (BN).

Selain Wakaf Mempelam, PAS menguasai DUN Ladang dan Batu Burok.

Mengambil kira bahawa beliau merupakan Ketua PAs Kuala Terengganu dan pernah bertanding di kerusi DUN Ladang 23 tahun yang lalu, Abdul Wahid memberitahu beliau mempunyai banyak kenalan di kawasan pusat bandar, yang menjadi sebahagian daripada wilayah DUN Bandar.

"Malah ibu saya tinggal di kawasan bandar. Begitu juga saya mempunyai kenalan lama di kawasan bandar termasuk daripada kalangan masyarakat Cina," kata Abdul Wahid dalam nada gurauan dan kadangkala bercampur suara ketegasan.

Nada bergurau senda dan ketegasan memang stailnya, kata beliau yang juga bekas Exco Pembangunan Usahawan dan Belia Terengganu dari 1999 hingga 2004.


FALSAFAH POLITIK


http://buletinonline.net/images/stories/berita/wahidsenyum1.JPGMengenai pendekatan politiknya sepanjang tiga dekad, Abdul Wahid berkata, beliau berlandaskan konsep bahawa "musuh jangan dicari dan jika berhadapan jangan biarkan."

Pendekatan ini sangat penting dalam meneruskan perjuangan politik, kata beliau yang lahir di Kampung Pulau Rusa.

Sebagaimana Abdul Wahid, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang sudah dua minggu diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN), juga Ketua Umno Bahagian.

Abdul Wahid memiliki kelulusan Ijazah Sains Marin dan Perikanan dari Universiti Putra Malaysia.

Abdul Wahid dalam ceramah kira-kira 10 minit di Kampung Seri Ladang malam tadi menyenaraikan beberapa isu tempatan dan nasional termasuk soal bayaran royalti, pembangunan, dasar dan soal derhaka kepada Sultan.

Malah beliau juga tidak mahu ada serangan peribadi dikenakan atau digunakan semasa berkempen nanti.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak dianggap kubu kuat bagi parti yang bertanding. BN dan PAS dilihat mempunyai kekuatan yang cukup seimbang.

Ini turut diakui oleh Abdul Wahid yang memberitahu bahawa beliau telah melawat sebahagian besar kawasan di keempat-empat DUN berkenaan sepanjang dua hari yang lalu.

Bagaimana pula dengan janji kepada pengundinya? Abdul Wahid menyenaraikan tiga aspek iaitu menjadi wakil rakyat yang baik, bercakap untuk rakyat atau membangkitkan isu sebagai wakil rakyat dan mewakili parti.

Pakatan Rakyat Perjuangkan Hak Rakyat


Kuala Terengganu – Calon PAS bagi pilihanraya kecil Kuala Terengganu berkata Pakatan Rakyat sentiasa memperjuangkan dan membela hak rakyat  secara konsisten tanpa mengira kaum.

"Kita menentang kezaliman atas nama Islam, dan ianya bukan masalah membabitkan bangsa," katanya  ketika mengunjungi para peniaga di pasar pagi Kampung Tiong Kuala Terengganu sambil menghadiahkan sekuntum bunga ros kepada setiap orang ahli komuniti masyarakat Cina yang ditemuinya di kawasan itu.

Beliau berkata pelaksanaan beberapa dasar dan undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta tindakan diskriminasi kepada mana-mana kaum atau agama tidak wajar diteruskan. 

"Mesej kita jelas iaitu tidak boleh berlaku kezaliman kepada mana-mana pihak, termasuk apa jua agama dan bangsa,"katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam.

Kehadiran ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bersama dalam program kunjungan tersebut turut menambah keyakinan dan kefahaman penduduk setempat terhadap mesej yang dibawa Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil ini.

Katanya beliau akan terus ’turun ke bawah’ mendekati masyarakat bukan Melayu dalam bandar Kuala Terengganu bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi dan membantu mereka.

"Saya rasa saya tidak menghadapi masalah memandangkan saya pernah bertanding di DUN Bandar pada tahun 1986, malah saya juga menemui mereka yang masih mengundi di sini," katanya lagi.

Mengulas lanjut situasi semasa beliau berkata kegawatan politik dan ekonomi menyebabkan masyarakat semakin percaya kepada kerajaan UMNO/BN menangani masalah yang dihadapi.

"Saya cukup yakin bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk memberikan sokongan mereka kepada PAS," tegasnya.

Beliau turut menjelaskan rakyat bukan Islam tidak perlu takut dengan Hudud kerana ianya hanya dilaksanakan untuk masyarakat Islam sahaja.

"Hudud tidak perlu ditakuti kerana ianya adalah untuk orang Islam sahaja, lagipun ianya telah diluluskan oleh Sultan Terengganu sewaktu PAS memerintah Terengganu.

"Ia tidak boleh menjadi isu kerana sebelum ini pun tidak mendatangkan apa-apa masalah kerana yang penting masyarakat Cina perlu tahu apa yang Pakatan Rakyat buat adalah untuk kebaikan mereka,"tambahnya.

Friday, January 2, 2009